Friday 26 October 2012

BIDADARI DUNIA : TIDAK SEMESTINYA CANTIK ITU LAWA





Ramai akan menyangka bahawa wanita yang mempesonakan itu haruslah cantik dan menghairahkan tetapi telahan dan sangkaan itu ternyata agak silap. Bukan jasad cantik yang semua orang lelaki selalu cari tetapi mereka melihat kepada lawa.

Lawa bermaksud tidaklah buruk, tidak hodoh dan tidaklah tertolak tetapi seseorang itu dianggap lawa kerana disebabkan pemakaian dan cara penampilan imej seseorang yang menarik dan mampu memikat hati-hati dan mata yang melihat.

Pemakaian

Tentu anda biasa melihat wanita yang berkulit gelap, tidaklah memiliki potongan badan yang ramping tetapi dengan pakaian menutup aurat yang dipadankan ketubuhnya, berjubah labuh misalannya, bertudung litup dan warna pakaian yang bersesuaian dengan warna kulit, bedak yang lembut di muka dengan senyuman ikhlas di wajah wanita tersebut, maka apakah lelaki yang memandang tidak akan mengatakan dia itu lawa ?

Tidak lawa ? Pasti anda berbohong !

Lawa terhasil apabila wujud gabungan penampilan imej yang baik dengan pemakaian yang sesuai, menutup aurat dan menyelesakan pemakai bukannya yang sendat sehingga terseksa ketika berjalan, bukanlah warna yang terang sehingga menyakitkan mata dan bukanlah yang terbuka di sana sini sehingga setiap kali terpaksa ditutupi dengan tangan.

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda : “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, maka apabila keluar, syaitan akan menghiasinya.” (Dikeluarkan oleh Al Bazzar dan At Tirmidzi dan disahihkan oleh Syeikh Al Albani dalam Irwaul Ghalil jilid I).

Ramai gadis murahan (kerana murah dibeli atau didapati) , baik di IPT atau sudah bekerja suka sekali memakai seluar jeans dan seluar ketat yang menampakkan bentuk pinggul mereka. Mereka tidak sedar bahawa lelaki suka sekali melihat hanya untuk menjamu nafsu tetapi tidak ada yang akan sudi mengambil gadis sebegitu sebagai teman di dalam kehidupan.

Pemakaian seksi menyeksa batin lelaki, membuatkan mereka tergoda, namun daripada sudut pandang psikologi, perbuatan wanita memakai pakaian seksi terbabit hanya akan meruntun nafsu lelaki supaya menyeksa kaum wanita, disebut menghukum dan menganaiyai wanita itu di atas katil dengan kekuatan seks luar biasa dan memperlakukan pelbagai tindakan luar batasan bagi memuaskan nafsunya yang diruntun secara tidak normal oleh wanita itu dengan pemakaiannya yang seksi.

Gejala ini disebut pembalasan dendam daripada lelaki yang kemudiannya akan meninggalkan wanita tersebut setelah kepuasannya dipenuhi, perbuatan ini jauh daripada cinta, jauh daripada kasih dan segalanya yang selama ini di dambakan oleh seorang wanita tetapi dipandu oleh nafsu dan runtunan syahwat.

Pemakaian yang menutupi aurat, bermaksud menutupi seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan bukan hanya memakai tudung, tetapi mesti labuh sehingga menutupi dada, juga tidak terbuka dan terdedah di bahagian lain serta tidaklah ketat dan sendat menampakkan bahagian dan bentuk badan.

Allah swt berfirman (dengan maksudnya) :
“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Ahzab : 59)

Percayalah pemakaian sopan, beradab dan menutup aurat akan membawa kepada kebaikan diri, keselamatan dan juga penampilan imej yang baik dan akan mengundang bukan sahaja keredhaan tuhan tetapi juga keredhaan seluruh makhluk termasuk manusia yang melihat.

Penampilan imej

Menghasilkan imej yang menarik sangat mudah tetapi mengekalkannya itu yang amat payah. Postur yang betul perlu dipelajari, bagaimana cara berdiri, berjalan, duduk dan ketika tunduk mengambil barang atau sesuatu yang tercicir di atas lantai.

Mulakan dengan postur yang betul ialah satu kemestian, tidak ramai menyedari wanita kerap membongkok ketika berjalan, khasnya bila mereka memakai tudung yang labuh atau berpakaian sopan, ini tidak betul kerana tawadhuk itu di hati bukan dengan berjalan tertunduk-tunduk sehingga menyakitkan tulang belakang.

Jalan dengan meluruskan posisi badan, kepala tegak dengan langkah yang aman dan damai pasti akan menghasilkan pemandangan seorang wanita anggun yang sedang berjalan. Betulkan posisi duduk, cara meletakkan tangan , kaki dan punggung bagaimana melabuhkan diri amat berguna bagi membina imej yang positif dan mempesona.

Ini tidak hanya berguna ketika anda bertemu orang ramai tetapi perlu dilatih di dalam rumah sehingga anda menjadi suri rumahtangga dan bergelar isteri yang anggun dan memikat di sisi suami.

Baginda bersabda : “Dunia itu ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.” (hadis sahih, riwayat Muslim no. 3628).

Siapa tidak bangga memiliki isteri anggun dan bergaya, melihatnya duduk di sofa sahaja membuatku terpesona, bergaya, anggun dan jelita. Cara letak tangannya, cara memegang gelasnya, cara menghidangkan makanan di atas meja, cara mengambil sesuatu, gerak langkahnya, cara dia menyentuh diriku, aduh aku suami bahagia punyai isteri yang istimewa.

Demikian keluh seorang suami yang memiliki isteri yang kebetulan telah dilatih dengan disiplin latihan pesona wanita semenjak kecil.

Allah swt berfirman (dengan maksudnya) :
“ Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah diciptakan bagi kamu dari diri kamu isteri-isteri supaya kamu bersenang-senang kepadanya..” (Ar-Rum : 21).

Selesaikan postur, cara berinteraksi pula menjadi topik utama, perkataan yang diucapkan, percakapan dan tutur kata memainkan peranan. Pilihan ayat yang tepat gagal digunakan oleh ramai wanita kerana tidak sabar untuk bercakap.

Berfikir sebelum bercakap

Berfikir sebelum bercakap membantu seorang wanita untuk menghasilkan ayat yang tepat, menarik dan sesuai untuk digunakan pada situasi tertentu. Sesetengah lelaki, misalannya suami anda adakalanya memiliki sensitiviti tertentu terhadap penggunaan bahasa.

Contohnya saya pernah menerima aduan mengenai seorang kawan yang berasal daripada utara Kedah yang telah bernikah dengan seorang gadis Kelantan, beliau mengatakan bahawa apabila mendengar isterinya bercakap di dalam bahasa Kelantanis serta merta beliau cepat sekali bernafsu !

Seorang yang lain pula mengatakan, beliau pantang mendengar wanita bercakap di dalam loghat Terangganu kerana akan mematikan selera beliau sedang rakan yang lain pula mengatakan dia tak mampu bertahan dengan bahasa utara yang agak pekat, menyakitkan telinga katanya !

Demikian antara contoh keperluan bagi kita memilih perkataan dan bahasa yang sesuai untuk berbicara khasnya bagi wanita yang menginginkan pesona.

Kegelojohan bercakap boleh membawa padah, ramai wanita tidak menyedari bahawa lelaki kurang memahami percakapan dan butir perkataan yang keluar daripada mulut mereka. Wanita menyifatkan sesuatu secara maksud tersirat tetapi lelaki kerap mengambil apa yang terzahir daripada perkataan.

Wanita mungkin berbicara kepada suaminya, yang dia terluka ketika memasak di dapur tadi tetapi sekarang sudah sembuh dan lukanya pun sudah hilang. Suami mungkin akan membalas dengan mengatakan apakah sudah dibubuh ubat pada luka ? Memesan supaya berhati-hati di dapur atau paling kurang berkata kalau sudah sembuh baguslah.

Komunikasi wanita sering mempunyai agenda tersimpan yang tidak diluahkan !

Hakikatnya boleh jadi wanita itu ingin perhatian lebih daripada suaminya seperti melihat bekas luka di badannya, bertanya di mana luka itu berada dan kemudian paling penting bertanya masakan apakah yang dibuat oleh isterinya kerana besar kemungkinan tujuan wanita itu menceritakan kisah lukanya di dapur itu bertujuan supaya suaminya mengetahui masakan yang dihidangkan itu dilakukan dengan bersungguh-sungguh atau istimewa.

Pasti hancur hati wanita tersebut apabila si suami mengatakan dia tidak sempat hendak makan bersama kerana sibuk dan terpaksa kembali ke pejabat dan menyuruh isterinya makan sendiri terlebih dahulu.

Siapa yang bersalah ?

Tiada siapa yang bersalah di dalam hal ini kerana sifat lelaki dan wanita ternyata berbeza termasuk pandangan dan pemikiran mereka walau bagaimanapun seorang wanita pesona dia mampu berkomunikasi dengan bahasa yang sesuai dan boleh difahami oleh pasangannya dan hal ini memerlukan kepada kebijaksanaan otak atau pendedahan informasi maklumat seperti yang ditulis oleh artikel seperti ini.

Antara perkara yang sempat saya tuliskan lagi berkenaan imej ialah seorang wanita pesona haruslah mampu menzahirkan keceriaan dan ketenangan di dalam jiwanya.

Huru-hara bukan sifat wanita pesona tetapi kelembutan, ketenangan dan kedamaian ialah imej yang perlu ditampilkan bersama dengan pemakaian. Seorang wanita pesona, wajahnya sering memaparkan senyuman, tawa riangnya tidaklah melampaui batasan dan perwatakkannya terkawal dan dikawal hanya oleh dirinya yang menafikan bahawa wanita pesona itu haruslah seperti robot bergerak yang dikawal.

Dia mengawal dirinya ketika berjalan, melangkah dan hidup dengan yakin dan tawakal kepada tuhan di dalam masa yang sama hidup mesra seperti manusia lainnya. Kepura-puraan atau lakonan tidak berlaku dan tidak dapat dilihat di wajahnya tetapi ini semua terhasil akibat latihan dan disiplin diri bertahun-tahun lamanya.

Pesona wanita tidak dapat dibina di dalam satu hari tetapi imej dan peribadi dibentuk dengan perubahan sedikit demi sedikit tetapi berterusan.

Kata kunci bagi penampilan imej ialah berhati-hati

Berhati-hati dan berfikir sebelum melakukan sesuatu akan mendorong kita bertindak dengan lebih tepat dan bermanfaat ketika melaksanakan sesuatu perkara.

Anda pasti tidak mahu gelagat anda ketika mengorek hidung akan dikenang oleh seorang lelaki seumur hidup dan memori sebegitu pasti tidak manis dibuat cerita.

Janganlah anda lupa, cukup lama masa diperlukan untuk membina imej yang baik dan peribadi pesona tetapi sekejap sahaja waktu yang diperlukan untuk memusnahkannya. Itulah yang disebutkan sebelum ini bahawa tidak susah untuk membina pesona wanita tetapi terlalu susah untuk mengekalkannya.

Berhati-hati di dalam perbualan, pergerakkan dan perlakuan akan mengundang kepada kebaikan kepada diri sendiri. Kita tidak tahu bila dan di mana orang akan melihat kita, namun dengan sikap berhati-hati kita akan lebih perihatin dan lama-kelamaan sikap ini akan bersebati di dalam diri sehingga membentuk sebuah disiplin hidup yang mempesona.

❀ No comments ❀