Friday 10 November 2023

KELEBIHAN DUA AYAT AKHIR DARI SURAH AL-BAQARAH


SUMBER : MUFTI WILAYAH


Daripada Abu Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.” [Riwayat al-Bukhari (5009)]


Al-Quran merupakan sebuah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS. Di samping itu, di dalam al-Quran juga terkandung seribu satu rahsia bagi sesiapa yang mentadabburnya dan sentiasa melaziminya dengan membacanya. Selain itu, terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang sentiasa membaca dan mengamalkan ayat-ayat suci al-Quran berdasarkan kepada nas yang sahih sama ada daripada al-Quran dan juga hadith Nabi SAW.

Berdasarkan soalan di atas, antara makna telah cukup baginya di dalam hadith di atas sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini terbahagi kepada beberapa makna:Telah cukup baginya qiyamullail (bangun di tengah malam untuk beribadah)

Telah cukup baginya untuk membaca al-Quran sama ada di dalam atau di luar solat.
Telah cukup baginya perkara-perkara yang melibatkan aqidah kerana ayat tersebut menceritakan tentang keimanan dan amalan secara umum.
Telah cukup baginya (terselamat) daripada segala keburukan.
Telah cukup baginya (terselamat) daripada keburukan syaitan
Telah menolak keduanya (ayat tersebut) daripada keburukan manusia dan jin.
Telah cukup baginya untuk mendapatkan kebaikan daripada keduanya.

Melihat kepada makna-makna di atas, Imam Ibn Hajar mengatakan boleh jadi yang dimaksudkan oleh hadith adalah semua yang telah disebutkan. [Lihat: Fath al-Bari, 9/56] 

Tambahan pula, Imam al-Nawawi berkata makna cukup baginya di dalam hadith di atas adalah cukup baginya mendirikan malam pada malam tersebut, cukup baginya (terpelihara) daripada keburukan syaitan serta daripada kebinasaan-kebinasaan dan boleh jadi ia membawa makna kesemuanya sekali. 
[Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 6/91-92]



Dua Ayat Terakhir Dari Surah al-Baqarah






Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang membaca di waktu malam dua ayat yang terakhir dari surah al-Baqarah ini serta memahaminya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka. Tambahan pula, hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan ini adalah bersumberkan daripada hadith yang sahih iaitu daripada kitab Sahih al-Bukhari yang merupakan kitab paling sahih selepas al-Quran. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan ahli al-Quran dan orang-orang yang sentiasa mencintai serta mengamalkan apa yang terdapat di dalam al-Quran. Amin.

❀ No comments ❀